Bismillahirrohmanirrohiim
Pada zaman Nabi Muhammad S.A.W, ada seorang pemuda bermata
biru, rambutnya merah, pundaknya lapang panjang, berpenampilan cukup
tampan.Kulitnya kemerah-merahan. Dagunya menempel di dada kerana selalu melihat
pada tempat sujudnya. Tangan kanannya menumpang pada tangan kirinya. Ahli
membaca al-Quran dan selalu menangis, pakaiannya hanya dua helai dan sudah
kusut yang satu untuk penutup badan dan yang satunya digunakannya sebagai
selendang. Tiada orang yang menghiraukan, tidak terkenal dalam kalangan
manusia,namun sangat terkenal di antara penduduk langit.
Tatkala datangnya hari Kiamat, dan tatkala semua ahli ibadah
diseru untuk memasuki Syurga, dia justeru dipanggil agar berhenti dahulu
seketika dan disuruh memberi syafa'atnya. Ternyata Allah memberi izin
padanya untuk memberi syafa'at bagi sejumlah bilangan qabilah Robi'ah dan
qabilah Mudhor, semua dimasukkan ke Syurga dan tiada seorang pun ketinggalan
dengan izin-Nya.
Dia adalah 'Uwais al-Qarni' siapalah dia pada mata
manusia...
Tidak banyak yang mengenalnya, apatah lagi mengambil tahu
akan hidupnya. Banyak suara-suara yang mentertawakan dirinya, mengolok-olok dan
mempermainkan hatinya. Tidak kurang juga yang menuduhnya sebagai seorang
yang membujuk, seorang pencuri serta berbagai macam umpatan demi umpatan,
celaan demi celaan daripada manusia.
Suatu ketika, seorang fuqoha' negeri Kuffah, datang dan
ingin duduk bersamanya. Orang itu memberinya dua helai pakaian sebagai hadiah.
Namun, hadiah pakaian tadi tidak diterima lalu dikembalikan semula kepadanya. Uwais berkata:
"Aku khuatir, nanti orang akan menuduh aku, dari
mana aku mendapatkan pakaian itu? Kalau tidak daripada membujuk pasti daripada
mencuri."
Uwais telah lama menjadi yatim. Beliau tidak
mempunyai sanak saudara, kecuali hanya ibunya yang telah tua renta dan lumpuh
tubuh badannya.
Hanya penglihatan kabur yang masih tersisa.
Bagi menampung kehidupannya sehari-hari, Uwais bekerja
sebagai pengembala kambing. Upah yang diterimanya hanya cukup-cukup untuk
menampung keperluan hariannya bersama ibunya. Apabila ada wang berlebihan,
Uwais menggunakannya bagi membantu tetangganya yang hidup miskin dan serba
kekurangan. Kesibukannya sebagai pengembala dan merawat ibunya yang
lumpuh dan buta, tidak mempengaruhi kegigihan ibadahnya. Dia tetap melakukan
puasa di siang hari dan bermunajat di malam harinya.
Uwais al-Qarni telah memeluk Islam ketika seruan Nabi
Muhammad S.A.W tiba ke negeri Yaman. Seruan Rasulullah telah mengetuk pintu
hati mereka untuk menyembah Allah, Tuhan Yang Maha Esa, yang tidak ada sekutu
bagi-Nya.
Islam mendidik setiap pemeluknya agar berakhlak luhur.
Peraturan-peraturan yang terdapat di dalamnya menarik hati Uwais. Apabila
seruan Islam datang di negeri Yaman, ia segera memeluknya, kerana selama ini
hati Uwais selalu merindukan datangnya kebenaran. Banyak tetangganya yang telah
memeluk Islam, pergi ke Madinah untuk mendengarkan ajaran Nabi Muhammad S.A.W
secara langsung. Sekembalinya di Yaman, mereka memperbaharui rumah tangga
mereka dengan cara kehidupan Islam.
Alangkah sedihnya hati Uwais apabila melihat setiap
tetangganya yang baru datang dari Madinah. Mereka itu telah bertamu dan bertemu
dengan kekasih Allah penghulu para Nabi, sedang dia sendiri belum
berkesempatan. Kecintaannya kepada Rasulullah menumbuhkan kerinduan yang
kuat untuk bertemu dengan sang kekasih. Namun apakan daya, dia tidak punya
bekal yang cukup untuk ke Madinah. Lebih dia beratkan adalah ibunya yang sedang
sakit dan perlu dirawat. Siapa yang akan merawat ibunya sepanjang ketiadaannya
nanti?
Diceritakan ketika terjadi perang Uhud Rasulullah S.A.W mendapat
cedera dan giginya patah kerana dilempari batu oleh musuh-musuhnya. Khabar ini
sampai ke pengetahuan Uwais. Dia segera memukul giginya dengan batu
hingga patah. Hal tersebut dilakukan sebagai bukti kecintaannya kepada
Rasulullah, sekalipun ia belum pernah melihatnya.
Hari berganti dan musim berlalu, dan kerinduan yang tidak
terbendung dan hasrat untuk bertemu tidak dapat dipendam lagi. Uwais
merenungkan diri dan bertanya dalam hati, "Bilakah ia dapat
menziarahi Nabinya dan memandang wajah beliau dengan dekat?"
Bukankah dia mempunyai ibu yang sangat memerlukan perhatian
daripadanya dan tidak sanggup meninggalkan ibunya sendiri. Hatinya selalu
gelisah siang dan malam menahan kerinduan untuk berjumpa Rasulullah.
Akhirnya, pada suatu hari Uwais mendekati ibunya. Dia meluahkan isi
hatinya dan memohon izin kepada ibunya agar diperkenankan untuk pergi
menziarahi Nabi S.A.W di Madinah. Sang ibu, walaupun telah uzur, merasa
terharu ketika mendengar permohonan anaknya. Beliau amat faham hati nurani anaknya,
Uwais dan berkata, "Pergilah wahai anakku! Temuilah Nabi di
rumahnya. Apabila telah berjumpa, segeralah engkau kembali pulang." Dengan
rasa gembira dia berkemas untuk berangkat. Dia tidak lupa untuk menyiapkan
keperluan ibunya yang akan ditinggalkan serta berpesan kepada tetangganya agar
dapat menemani ibunya selama mana dia pergi.
Sesudah siap segala persediaan, Uwais mencium sang ibu. Maka
berangkatlah Uwais menuju Madinah yang berjarak lebih kurang empat ratus
kilometer dari Yaman. Medan yang begitu panas dilaluinya. Dia
tidak peduli penyamun gurun pasir, bukit yang curam, gurun pasir yang luas yang
dapat menyesatkan dan begitu panas di siang hari, serta begitu dingin di malam
hari. Semuanya dilalui demi bertemu dan dapat memandang sepuas-puasnya paras
baginda Nabi S.A.W yang selama ini dirinduinya.
Tibalah Uwais al-Qarni di kota Madinah. Segera ia menuju ke
rumah Nabi S.A.W, diketuknya pintu rumah itu sambil mengucapkan salam.
Keluarlah sayyidatina 'Aisyah R.A sambil menjawab salam Uwais.
Segera sahaja Uwais menanyakan Nabi yang ingin dijumpainya. Namun
ternyata baginda tidak berada di rumah melainkan berada di medan perang. Betapa
kecewa hati sang perindu, dari jauh ingin berjumpa tetapi yang dirindukannya
tidak berada di rumah. Dalam hatinya bergolak perasaan ingin menunggu
kedatangan Nabi S.A.W dari medan perang. Bilakah beliau pulang?
Sedangkan masih terngiang di telinga pesan ibunya yang sudah tua dan
sakit-sakitan itu, agar ia cepat pulang ke Yaman.
"Engkau harus lekas pulang." Atas
ketaatan kepada ibunya, pesan ibunya tersebut telah mengalahkan suara hati dan
kemahuannya untuk menunggu dan berjumpa dengan Nabi S.A.W. Dia akhirnya
dengan terpaksa memohon untuk pulang semula kepada sayyidatina 'Aisyah R.A ke
negerinya. Dia hanya menitipkan salamnya untuk Nabi S.A.W dan melangkah pulang
dengan hati yang pilu.
Sepulangnya dari medan perang, Nabi S.A.W langsung
menanyakan tentang kedatangan orang yang mencarinya. Nabi Muhammad S.A.W
menjelaskan bahawa Uwais al-Qarni adalah anak yang taat kepada ibunya. Ia
adalah penghuni langit dan sangat terkenal di langit. Mendengar perkataan
baginda Rasulullah S.A.W, sayyidatina 'Aisyah R.A dan para sahabatnya terpegun.
Menurut sayyidatina 'Aisyah R.A memang benar ada yang mencari Nabi S.A.W
dan segera pulang kembali ke Yaman, kerana ibunya sudah tua dan sakit-sakitan
sehingga ia tidak dapat meninggalkan ibunya terlalu lama.
Rasulullah S.A.W bersabda: "Kalau kalian
ingin berjumpa dengan dia (Uwais al-Qarni), perhatikanlah, ia mempunyai tanda
putih di tengah-tengah telapak tangannya."
Sesudah itu Rasulullah S.A.W, memandang kepada sayyidina Ali
K.W dan sayyidina Umar R.A dan bersabda: "Suatu ketika, apabila
kalian bertemu dengan dia, mintalah doa dan istighfarnya, dia adalah penghuni
langit dan bukan penghuni bumi."
Tahun terus berjalan, dan tidak lama kemudian Nabi S.A.W
wafat, hinggalah sampai waktu khalifah Sayyidina Abu Bakar as-Shiddiq R.A telah
digantikan dengan Khalifah Umar R.A. Suatu ketika, khalifah Umar teringat
akan sabda Nabi S.A.W tentang Uwais al-Qarni, sang penghuni langit. Beliau
segera mengingatkan kepada sayyidina Ali K.W untuk mencarinya bersama.
Sejak itu, setiap ada kafilah yang datang dari Yaman, mereka berdua
selalu bertanya tentang Uwais al-Qarni, apakah ia turut bersama mereka. Di
antara kafilah-kafilah itu ada yang merasa hairan, apakah sebenarnya yang
terjadi sampai ia dicari oleh beliau berdua. Rombongan kafilah dari Yaman
menuju Syam silih berganti, membawa barang dagangan mereka.
Suatu ketika, Uwais al-Qarni turut bersama rombongan kafilah
menuju kota Madinah. Melihat ada rombongan kafilah yang datang dari
Yaman, segera khalifah Umar R.A dan sayyidina Ali K.W mendatangi mereka dan
menanyakan apakah Uwais turut bersama mereka. Rombongan itu mengatakan
bahawa ia ada bersama mereka dan sedang menjaga unta-unta mereka di perbatasan
kota. Mendengar jawapan itu, beliau berdua bergegas pergi menemui Uwais
al-Qarni. Sesampainya di khemah tempat Uwais berada, Khalifah Umar R.A
dan sayyidina Ali K.W memberi salam. Namun rupanya Uwais sedang melaksanakan
solat. Setelah mengakhiri solatnya, Uwais menjawab salam kedua tamu agung
tersebut sambil bersalaman.
Sewaktu berjabat tangan, Khalifah Umar segera membalikkan
tangan Uwais, untukmembuktikan kebenaran tanda putih yang berada di telapak
tangan Uwais,sebagaimana pernah disabdakan oleh baginda Nabi S.A.W.
Memang benar! Diapenghuni langit.
Dan ditanya Uwais oleh kedua tamu tersebut,
"Siapakah nama saudara?"
"Abdullah." Jawab Uwais.
Mendengar jawapan itu, kedua sahabat pun tertawa dan
mengatakan,
"Kami juga Abdullah, yakni hamba Allah. Tapi siapakah
namamu yang sebenarnya?"
Uwais kemudian berkata "Nama saya Uwais
al-Qarni."
Dalam pembicaraan mereka, diketahuilah bahwa ibu Uwais telah
meninggal dunia.Itulah sebabnya, dia baru dapat turut bersama rombongan kafilah
dagang saat itu. Akhirnya, Khalifah Umar dan sayyidina Ali K.W. memohon agar
Uwais berkenan mendoakan untuk mereka.
Uwais enggan dan dia berkata kepada khalifah,
"Sayalah yang harus meminta doa daripada
kalian."
Mendengar perkataan Uwais, Khalifah berkata,
"Kami datang ke sini untuk mohon doa dan istighfar
daripada anda."
Karena desakan kedua sahabat ini, Uwais al-Qarni akhirnya
mengangkat kedua tangannya, berdoa dan membacakan istighfar. Setelah itu
Khalifah Umar R.A berjanji untuk menyumbangkan wang negara daripada Baitulmal
kepada Uwais, untuk jaminan hidupnya. Segera sahaja Uwais menolak dengan halus
dengan berkata, "Hamba mohon supaya hari ini saja hamba diketahui
orang. Untuk hari-hari selanjutnya, biarlah hamba yang fakir ini tidak
diketahui orang lagi."
Setelah kejadian itu, nama Uwais kembali tenggelam dan tidak
terdengar beritanya. Namun, ada seorang lelaki pernah bertemu dan dibantu
oleh Uwais. Ketika itu kami berada di atas kapal menuju ke tanah Arab bersama
para pedagang. Tanpa disangka-sangka angin taufan berhembus dengan kencang.
Akibatnya, hempasan ombak menghentam kapal kami sehingga air laut masuk
ke dalam kapal dan menyebabkan kapal semakin berat. Pada saat itu, kami melihat
seorang laki-laki yang mengenakan selimut berbulu di pojok kapal yang kami
tumpangi, lalu kami memanggilnya.
Lelaki itu keluar daripada kapal dan melakukan solat di atas
air. Betapa terkejutnya kami melihat kejadian itu.
"Wahai waliyullah, tolonglah kami!"
Namun, lelaki itu tidak menoleh. Lalu kami berseru lagi,
"Demi Zat yang telah memberimu kekuatan beribadah,
tolonglah kami!"
Lelaki itu menoleh kepada kami dan berkata,
"Apa yang terjadi?"
"Tidakkah engkau melihat bahawa kapal dihembus angin
dan dihentam ombak?" Tanya kami.
"Dekatkanlah diri kalian pada Allah!" Katanya.
"Kami telah melakukannya."
"Keluarlah kalian daripada kapal dengan membaca
Bismillahirrahmaanirrahiim!"
Kami pun keluar daripada kapal satu persatu dan berkumpul.
Pada saat itu jumlah kami lima ratus lebih. Sungguh ajaib, kami semua tidak
tenggelam, sedangkan perahu kami serta isinya tenggelam ke dasar laut.
Lalu orang itu berkata pada kami,
"Tidak apalah harta kalian menjadi korban, asalkan
kalian semua selamat."
"Demi Allah, kami ingin tahu, siapakah nama
Tuan?" Tanya kami.
"Uwais al-Qorni." Jawabnya dengan
singkat.
Kemudian kami berkata lagi kepadanya, "Sesungguhnya
harta yang ada di kapal tersebut adalah milik orang-orang fakir di Madinah yang
dikirim oleh orang Mesir."
"Jika Allah mengembalikan harta kalian. Apakah
kalian akan membahagi-bahagikannya kepada orang-orang fakir di Madinah?" Tanyanya.
"Ya!" Jawab kami.
Orang itu pun melaksanakan solat dua rakaat di atas air,
lalu berdoa. Setelah Uwais al-Qarni mengucap salam, tiba-tiba kapal itu muncul
ke permukaan air, lalu kami menumpanginya dan meneruskan perjalanan. Setibanya
di Madinah, kami membahagi-bahagikan seluruh harta kepada orang-orang fakir di
Madinah, tiada satu pun yang tertinggal.
Beberapa waktu kemudian, tersiar khabar Uwais al-Qarni telah
pulang ke rahmatullah. Anehnya, pada saat dia akan dimandikan tiba-tiba
sudah banyak orang yang berebut untuk memandikannya. Dan ketika dibawa ke
tempat pembaringan untuk dikafan, di sana sudah ada orang-orang yang menunggu
untuk mengkafankannya.
Demikian juga ketika orang pergi hendak menggali kuburnya.
Di sana ternyata sudah ada orang-orang yang menggali kuburnya hingga selesai.
Ketika usungan dibawa menuju ke perkuburan, luar biasa banyaknya orang yang
berebutan untuk mengusungnya.
Syeikh Abdullah bin Salamah menjelaskan,
"Ketika aku ikut menguruskan jenazahnya hingga aku
pulang daripada menghantarkan jenazahnya, lalu aku ingin untuk kembali ke kubur
tersebut untuk memberi tanda pada kuburnya, akan tetapi sudah tak terlihat ada
bekas di kuburnya."
(Syeikh Abdullah bin Salamah adalah orang yang pernah ikut
berperang bersama Uwais al-Qarni pada masa pemerintahan sayyidina Umar R.A.)
Pemergian Uwais al-Qarni telah menggemparkan masyarakat kota
Yaman. Banyak terjadihal-hal yang amat menghairankan. Sedemikian
banyaknya orang yang tidak kenal datang untuk mengurus jenazah dan
pengebumiannya, padahal Uwais adalah seorang fakir yang tidak dihiraukan orang.
Sejak dia dimandikan hingga jenazahnya hendak diturunkan ke
dalam kubur, di situ selalu ada orang-orang yang telah siap melaksanakannya
terlebih dahulu. Penduduk kota Yaman tercengang.
Mereka saling bertanya-tanya "Siapakah
sebenarnya engkau wahai Uwais al-Qarni? Bukankah Uwais yang kita kenal,
hanyalah seorang fakir yang tidak memiliki apa-apa? Kerjanya hanyalah
sebagai penggembala?"
"Namun, ketika hari wafatmu, engkau telah
menggemparkan penduduk Yaman dengan hadirnya manusia-manusia asing yang tidak
pernah kami kenali. Mereka datang dalam jumlah sedemikian banyaknya."
Agaknya mereka adalah para malaikat yang diturunkan ke bumi,
hanya untuk mengurus jenazah dan pemakamannya.
Baru saat itulah penduduk Yaman mengetahuinya siapa Uwais
al-Qarni.
"Dialah Uwais al-Qarni, tidak terkenal di bumi
tapi sangat terkenal di langit."
- Artikel iluvislam.com
0 komentar:
Posting Komentar